Wednesday, 20 July 2011

Blog Pengetua SMT Jasin Dilancarkan

Beberapa hari sebelum Encik Hasni Dolmat melangkah masuk ke SMT Jasin, beliau telah melancarkan Blog Pengetua SMT Jasin sebagai menggantikan Blog Pengetua SMV Ampangan yang diambilalih oleh Encik Rusli Sharkom. Pelancaran blog ini mula berada di alam cyber mulai pagi tadi.  Kepada semua pihak khususnya warga SMT Jasin, blog ini boleh dicapai melalui alamat berikut  http://jasinbest.blogspot.com/


ZON MELAKA-NS PRO AKTIF

Majlis Pengetua Sekolah Menengah Teknik dan Vokasional (MPSMTV) Zon Melaka-NS telah melaksanakan hampirr 95 % takwim 2011. Program-program yang telah dilaksanakan ialah;

1. BERLIAN - untuk pelajar aliran teknikal - JK Pengelola SMTTJ
2. DELIMA - untuk pelajar vokasional - JK Pengelola SMT DLM
3. ZAMRUD - untuk pelajar SKM - JK Pengelola SMT Ampangan
4. Kursus Pengawas Sekolah - JK Pengelola SMV DSMZ
5. Kursus Pengawas Asrama - JK Pengelola SMV MT
6. Kursus/Program School Enterprise - JK Pengelola SMT DLM
7. Kursus/Program Warden Asrama - JK Pengelola SMV MT
8. Kursus Audit Dalam 5S - JK Pengelola SMV Juaseh
9. Kursus Pengelolaan KAT - JK Pengelola SMT Melaka

Mesyuarat MPSMTV Zon Melaka-NS yang telah diadakan baru-baru ini telah memutuskan untuk mengadakan 2 lagi program ia itu Outreach Pengambilan Pelajar 2012- JK Pengelola ialah SMV P.Dickson dan Majlis Graduasi SKM - JK Pengelola ialah SMV KKlawang.
BPTV telah mengamanahkan kepada Zon bagi mengelolakan Perkhemahan KRS Peringkat Kebangsaan, dijangka akan diadakan pada awal bulan Oktober nanti. Urusetia bagi program ini ialah SMV Juaseh. Tempat yang menjadi pilihan ialah Pusat Kokurikulum (PUSAKO) di Batu Kikir.
Semoga usaha Pengetua-pengetua dalam Zon akan menghasilkan impak yang amat positif demi untuk pelajar-pelajar SMT dan SMV.

Sunday, 17 July 2011

SMTM JUARA INNOSPACE SOLAR COMPETITION MELAKA



Melaka : SMT Melaka telah menjuari pertandingan Innospace Solar Competition 2011 yang telah dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknoloji dan Inovasi (MOSTI) bersama MyRobotz Enterprise pada 15 Jukai yang lalu bertempat di SIRIM, Batu Berendam . Seramai 32 buah sekolah telah mengambil bahagian, di peringkat akhir SMTM bertemu SMT Jasin dan SMTM muncul sebagai juara. Diperingkat akhir YAB Datuk Seri Haji Mohd Ali Bin Rostam ( Ketua Menteri Melaka) telah menyempurnakan "Flag Off". Turut hadir ialah Datuk Seri Maximus Ongkli ( Menteri MOSTI ). Pertandingan ini adalah sempena Pelancaran Jejak Inovasi Peringkat Kebangsaan Kali Pertama ( Melaka sebagai Tuan Rumah). Juara telah menerima sebuah trofi, sijil dan wang tunai RM 500. Tahniah kepada pelajar SMTM yang berjaya dibawah bimbingan Cikgu Rosmainy.

Gambar: Ketua Menteri Melaka sedang beramah mesra dengan pelajar SMTM.

Saturday, 16 July 2011

SMT KEKAL UNIK

Transformasi Pendidikan Negara telah pun bermula dengan memperluaskan pendidikan vokasional sepertimana satu cabang dari NKRA. Strategi yang telah dijalankan adalah dengan menukarkan semula sebanyak 78 buah SMT kepada SMV dan hanya kekal 10 SMT. Untuk menambahluaskan pendidikan vokasional beberapa SMK akan ditukarkan kepada SMV. Selain dari itu, ada perancangan untuk menyerapkan pendidikan vokasional ini ke SMK dan mungkin bermula dari Tingkatan 1.
Apa saja perancangan yang dibuat untuk memperluaskan pendidikan vokasional, keunikan SMT mesti dikekalkan. Keunikan SMT dari tahun 1972/73 yang telah bertapak di sembilan buah SMT dan juga sinonim dengan panggilan Technical Institute (TI) ialah mata pelajaran pengajian kejuruteraan yang tidak terdapat di mana-mana sekolah di negara ini termasuk SBP. Bagi mata pelajaran ini, pelajar tidak hanya diperkasakan dengan ilmu teori semata-mata malah dimantapkan lagi dengan aktiviti-aktiviti amali dan hands on. Ternyata dan telah terbukti pelajar lulusan SMT (TI) satu ketika dulu, telah menunjuk prestasi yang amat baik dalam kursus-kursus kejuruteraan terutama aktiviti dalam makmal/bengkel di universii-universiti tempatan seperti UTM dan juga diperakui oleh universiti luar negara.
Dalam perancangan, 78 SMV tersebut akan menghadapi transformasi yang lebih hebat iaitu dinaiktarafkan kepada kolej. Pada tahun 2013, sebanyak 78 buah Kolej Vokasional akan tampil dan ia merupakan satu anjakan berskala besar dalam pendidikan negara di bawah KPM. Ia wajar dilaksanakan bagi menarik lebih ramai rakyat memilih bidang vokasional bagi menaikkan nisbah pendidikan vokasional berbanding dengan akademik. Pendidikan vokasional kebanyakan di negara maju secara puratanya tidak kurang dari 50 % (Austria 78%), manakala di Malaysia ialah 7 %. Hasrat KPM menjelang 2020, pendidikan vokasional di negara ini akan meningkat kepada 40%.
Sekiranya Kolej Vokasional akan melahirkan tenaga mahir dan separuh mahir, SMT tetap dengan halatuju untuk melahirkan bakal profesional dalam bidang kejuruteraan. Negara masih memerlukan tenaga profesional bagi pembangunan negara menjelang 2020 dan seterusnya. SMT perlu kekal dengan identitinya dan keunikannya. SMT masih relevan untuk negara, maka ianya perlu dikekalkan malah dinaik tarafkan. "Untuk jadi jurutera masuklah SMT (TI)" kata-kata seorang bekas pelajar, kini seorang Jururunding Kejuruteraan yang berjaya dinegara ini.

PERGERAKAN PENGETUA

Pergerakan atau pertukaran Pengetua-pengetua dari satu sekolah ke sekolah yang lain hendaklah dilihat dari sudut yang positif. Kesan dari pertukaran boleh memberikan implikasi samaada gembira atau bersedih, tetapi sebagai pegawai yang berpangkat tinggi ( Division 1) di dalam sektor awam hendaklah dilihat sebagai memenuhi kepentingan perkhidmatan. Zon Melaka-NS mengalami pergerakan pengetua-pengetua;
Dari SMT Jasin ke SMV Temerloh; SMV PD ke SMV Ampangan; SMV Ampangan ke SMV Jasin dan dari SMV Temerloh ke SMV PD. Selaku Pengerusi Zon Melaka-NS saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada En. Fauzi yang akan ke SMV Temerloh di atas jasa dan sumbangan beliau kepada zon dan memohon maaf diatas segala kesalahan dan kelemahan kami yang tinggal. Kepada En Bakar yang akan ke SMV PDickson, saya mengucapkan selamat datang ke Majlis Pengetua SMT/SMV Zon Melaka-NS, semoga kehadiran tuan menambahkan kekuatan kita. Semua pergerakan ini akan berkuatkuasa mulai 1 Ogos ini. Selain dari Zon Melaka-NS yang terlibat dalam pergerakan pengetua ialah; dari SMT Seberang Perai ke SMV Kangar dan dari SMV Nibong Tebal ke SMT Seberang Perai. Saya ucapkan tahniah atas perlantikan En Mustafa dari Sektor Pengurusan Guru, BPTV atas perlantikan sebagai Pengetua SMV Nibong Tebal. Bersabarlah sekiranya pertukaran ini memberikan sedikit kesukaran dan anggaplah ianya satu cabaran untuk ke arah lebih cemerlang.