Tuesday, 20 September 2011

Kurikulum Vokasional Ikut Spesifikasi Luar Negara

LONDON 9 Sept. - Kurikulum baru pendidikan vokasional yang akan dikuatkuasakan pada 2013 mempunyai spesifikasi dan standard yang diiktiraf oleh pelbagai agensi dalam dan luar negara. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu, kurikulum itu bersifat modular, berasaskan kecekapan, mengutamakan aspek amali dan anjal. Selain itu, jelasnya, kurikulum yang akan dikenali sebagai Kurikulum Kolej Vokasional (KKV) itu merangkumi elemen kreativiti dan inovasi, keusahawanan, kemahiran insaniah dan kemahiran teknologi yang digabung jalin dengan keperluan industri serta badan profesional.
"Kita memperkenalkan sistem dan kurikulum baru ini kerana tidak berpuas hati dengan kurikulum sedia ada," katanya di sini hari ini. Menurut beliau, KKV adalah kurikulum pendidikan khusus untuk pelajar yang mengikuti pendidikan dan latihan vokasional peringkat menengah atas dalam persekitaran pembelajaran berorientasikan pekerjaan yang menekankan kepada keperluan industri sejajar dengan perkembangan pembangunan negara. Katanya, ia dibangunkan berteraskan kecekapan yang dihurai dalam bentuk standard kandungan (content standards), standard pembelajaran (learning standards) dan kriteria pencapaian (performance criteria).

Menjelaskan lebih lanjut katanya, standard kandungan adalah pernyataan spesifik yang pelajar patut ketahui dan boleh lakukan dalam satu tempoh pengajian merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai.  "Standard pembelajaran pula satu penetapan kriteria atau indikator kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan. Kriteria pencapaian pula adalah pernyataan yang mengkhususkan kepada perkara yang perlu ditaksir dan tahap pencapaian yang diperlukan," katanya.  Jelasnya, struktur KKV mengandungi dua komponen iaitu akademik dan vokasional dengan komponen akademik meliputi pengajian Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, bahasa-bahasa perniagaan antarabangsa seperti Mandarin dan Perancis, Sejarah Malaysia, Matematik, Sains, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.  "Penumpuan jam kredit komponen akademik pada tahap sijil adalah 30 peratus dan penumpuan jam kredit komponen akademik pada tahap diploma adalah 20 peratus. Jam kredit komponen vokasional memberikan penumpuan jam kredit 70 peratus pada tahap sijil dan 80 peratus pada tahap diploma.  "Konsep KKV juga memberi fokus kepada Production Based Education (PBE), Competency Based Education (CBE) dan On-Job Training (OJT) untuk membolehkan lulusan vokasional mendapat permintaan dalam pasaran kerja," katanya.  Malah, tegas beliau, penekanan juga diberikan kepada konsep School Enterprise (SE) untuk menyediakan pelajar menjadi usahawan sekiranya mereka ingin bekerja sendiri.

Beliau memberitahu, pendekatan pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam KKV dijalankan mengikut sistem Semester Anjal yang membenarkan seseorang murid menamatkan pengajian Tahap 4 (Diploma Kolej Vokasional) dalam tempoh sama ada tiga tahun setengah atau empat tahun berasaskan saringan. Menyentuh tentang peperiksaan katanya, Pentaksiran Berasaskan Standard Kompetensi Vokasional (PBSKV) adalah kaedah untuk mengukur pelbagai kecekapan sebagaimana yang ditetapkan oleh kurikulum itu.

Petikan :  Utusan Malaysia Online (10 September 2011)

Thursday, 11 August 2011

CENTRE OF EXCELLENCE (COE) BAGI 10 SMT

Mesyuarat pemantapan prestasi 10 SMT telah diadakan secara bersiri. Mesyuarat kalangan GPK1 dan S/U Peperiksaan telah diadakan pada 11 Julai dan Mesyuarat di kalangan Pengetua telah diadakan pada 3-5 Ogos yang lalu. Kedua-dua mesyuarat adalah bertujuan membentuk strategi-strategi bagi memantapkan prestasi 10 SMT. Di antara strategi adalah mewujudkan Pusat Kecemerlangan (COE) pada setiap SMT seperti yang tersenarai;

1. SMT JOHOR BAHRU - MATEMATIK TAMBAHAN, KIMIA
2. SMT KUALA LUMPUR - PKEE, MATEMATIK
3.SMT TUANKU JAAFAR - PKU, BI, PERDAGANGAN
4.SMT ALOR SETAR - FIZIK, SAINS PERTANIAN
5.SMT MELAKA - PKA, BIOLOGY
6.SMT TARP - LK, SEJARAH
7.SMT TERENGGANU - BM, SAINS
8.SMT SEJINGKAT - P.MORAL, ROBOTIK
9.SMT KUANTAN - PKM, P.AKAUN
10.SMT LIKAS - P.ISLAM, EKONOMI ASAS


Dalam mesyuarat tersebut, Pengetua SMTM telah diberi kesempatan membentangkan kertas kerja bagi menaik taraf 10 SMT. Diantara perkara yang dicadangkan ialah mengadakan permuafakatan dengan pihak IPTA untuk mengikhtiraf 10 SMT sebagai laluan mudah dan istimewa melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma dan ijazah dalam bidang kejuruteraan, perakaunan dan sains pertanian. Halatuju 10 SMT adalah melahirkan bakal jurutera adalah kekal unggul di bawah KPM.

Wednesday, 3 August 2011

Selamat Datang Encik Abu Bakar ke Zon Melaka / NS

Diucapkan selamat datang kepada Encik Abu Bakar Md Jelas,  yang telah bertukar ke SMV Port Dickson sebagai pengetua.  Ibarat sireh pulang ke ganggang,  Encik Abu Bakar sebenarnya bukan asing kepada kita semua khususnya warga SMT dan SMV kerana beliau  merupakan bekas Penolong Kanan SMV Ampangan berbelas tahun lamanya sebelum bertukar ke Temerloh menjadi pengetua di sana.  Diharap pengalaman luas di Pahang akan dapat dikongsi bersama dalam komuniti SMT dan SMV zon Melaka / Negeri Sembilan.

Sunday, 31 July 2011

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL MUBARAK 1432 H

Kita sudah pun berada di ambang Ramadhan, hanya menunggu pengumuman khas oleh Mohor Raja-raja pada malam ini. Bulan yang penuh berkat dan rahmat, bulan yang penuh dengan pahala yang disediakan kepada umat nabi Muhammad saw. Bulan yang terdapat di dalamnya ribuan rahmat, jika di penuhi dengan ibadat bermakna ganjaran pahala seumpama hidup 1000 bulan (83.3 tahun). Marilah, kita membersihkan hati sesuci-sucinya agar mudah melaksanakan kewajipan samada kepada Allah maupun kepada manusia di sekeliling kita. Buangkan segala perasaan iri hati lebih-lebih lagi sifat menzalimi diri sendiri atau kepada orang lain. Perkukuhkan ukhwah islamiah moga perpaduan sesama Islam semakin erat, sayang menyayangi seperti Rasulullah kepada umatnya. Di dalam kita meneroka kecemerlangan, kita tak mampu lakukan sendiri, kita perlukan rakan, kita perlukan pasukan. Kiat boleh ceritakan kekuatan kita tanpa menyatakan kelemahan orang lain. Baru-baru ini, pabila pihak JPN dan Jemaah Nazir Melaka datang berkunjung ke SMTM, diantara komen, pengetua perlu menonjolkan kekuatan-kekuatan dan hasil usaha sebagai pengurus sekolah supaya dapat didengari oleh pihak yang memantau. Jika direnung mungkin agak songsang, dimana dari aspek agama tidak boleh riak. Teringat juga satu kisah zaman silam, ketika sekumpulan sahabat yang teperangkap di dalam sebuah gua berdoa untuk dibebaskan. Setiap sahabat menceritakan kebaikan masing-masing sehingga Allah membuka pintu gua sedikit demi sedikit dan akhirnya terbuka luas. Maka itu, tiada salahnya kita menguar-uarkan kecemerlangan kita bagi tujuan meningkatkan martabat. Wahai rakan-rakan, berjuanglah untuk kecemerlangan kerana ia juga ibadat lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Ambil yang jernih, buang yang keruh, pendayung di tangan perahu dah di air, apa yang ditunggu, dayunglah hingga sampai ke destinasi. Wallahu alam.

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL MUBARAK,
MAAF DI ATAS SEGALA KESALAHAN.

DRPD: HJ ARSHAD, PENGETUA SMTM, PENGERUSI MPSMTV ZON MELAKA-NS