SEDUTAN AKHBAR






PROJEK PERINTIS DIPERKENAL DI SEMUA SMV MULAI SESI 2011
Berita Harian Online: 28 Disember 2010

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran memperkenalkan program perantisan bidang pengurusan dan penyelenggaraan kuda atau ekuin serta teknologi pemprosesan kayu di sekolah menengah vokasional (SMV) mulai tahun depan.

Projek perintis itu akan bermula dari Tingkatan Empat membabitkan kerjasama pihak industri dengan pelajar menjalani pendedahan amali melalui latihan di lapangan dan hanya dua hari pembelajaran teori dalam kelas setiap minggu.
Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Kementerian Pelajaran, Ahmad Tajudin Jab, berkata pelajar program ekuin akan mempelajari pelbagai aspek seperti pengurusan dan penyelenggaraan kuda serta bangsal kuda dan penjagaan haiwan yang meliputi pemakanan dan kesihatan.

“Bagi program perantisan teknologi pemprosesan kayu, mereka diberi pendedahan penting seperti mengenali jenis kayu, kegunaan dan kualitinya, penghasilan produk kayu serta teknologi pembuatan perabot,” katanya kepada Berita Harian.

Program ekuin membabitkan kerjasama dengan Setia Brothers Sdn Bhd yang akan mengendalikan latihan lapangan serta University of Ballarat, Australia, untuk aspek sukatan pelajaran dan kurikulum, latihan guru serta penganugerahan sijil kemahiran kepada pelajar yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa.

Program teknologi pemprosesan kayu pula membabitkan kerjasama LY Industry di Batu Pahat untuk latihan lapangan, serta Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) bagi penggubalan sukatan pelajaran dan kurikulum serta penganugerahan sijil kemahiran yang diiktiraf di seluruh negara. 
Sebagai permulaan, program perantisan ekuin akan ditawarkan kepada masing-masing 20 pelajar Tingkatan Empat SMV Sungai Buloh dan SMV Kajang pada sesi persekolahan 2011, manakala teknologi pemprosesan kayu di SMV Batu Pahat membabitkan dua kelas dengan 20 pelajar Tingkatan Empat setiap kelas.

“Pelajar terbabit akan mengikuti pembelajaran teori ringan apabila sesi persekolahan dibuka bulan depan sebelum ke lapangan mulai Mac. Bagi program perantisan ekuin, pelajar akan menjalani latihan lapangan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS). Jika berjaya, ia akan diperluaskan ke SMV lain kerana pendekatan pembelajaran sebegini dijangka lebih berkesan,” katanya.

Ahmad Tajudin juga berkata, dua pensyarah University of Ballarat akan membantu pelaksanaan permulaan program perantisan ekuin di sekolah, selain mengendalikan latihan kepada guru yang kemudian berperanan melatih rakan sejawat mereka pada masa depan.

Sambil menjelaskan perbelanjaan latihan lapangan akan ditampung keseluruhannya oleh syarikat swasta, beliau berkata, sebuah tabung akan diwujudkan bagi menjana dana membantu pembiayaan kos yang agak besar bagi program ekuin, di bawah penyeliaan jawatankuasa khas yang meliputi golongan tokoh kenamaan dan ahli korporat.

“Industri ekuin bukan saja semakin berkembang di Malaysia, malah seluruh dunia dan bidang ini memerlukan tenaga pakar terlatih. Begitu juga dengan industri perkayuan di mana pelajar memiliki nilai tambah yang tinggi hasil pengalaman menjalani latihan lapangan. Mereka bukan saja akan memiliki persediaan cukup baik untuk menceburi kerjaya apabila tamat persekolahan, malah menjadi usahawan,” katanya.

Ahmad Tajudin berkata, program perantisan yang pertama seumpamanya di SMV itu adalah sebahagian daripada inisiatif penjenamaan semula sekolah berkenaan bagi melahirkan tenaga mahir yang menyumbang ke arah pencapaian status Malaysia sebagai negara maju menjelang 2020.

INFO:

·  Program perantisan ekuin -  mempelajari pengurusan dan penyelenggaraan kuda.
·  Program perantisan teknologi pemprosesan kayu - mengenali jenis kayu, kegunaan dan kualiti, penghasilan produk kayu serta teknologi pembuatan perabot.

Berita Harian Online: 28 Disember 2010