Kita sudah pun berada di ambang Ramadhan, hanya menunggu pengumuman khas oleh Mohor Raja-raja pada malam ini. Bulan yang penuh berkat dan rahmat, bulan yang penuh dengan pahala yang disediakan kepada umat nabi Muhammad saw. Bulan yang terdapat di dalamnya ribuan rahmat, jika di penuhi dengan ibadat bermakna ganjaran pahala seumpama hidup 1000 bulan (83.3 tahun). Marilah, kita membersihkan hati sesuci-sucinya agar mudah melaksanakan kewajipan samada kepada Allah maupun kepada manusia di sekeliling kita. Buangkan segala perasaan iri hati lebih-lebih lagi sifat menzalimi diri sendiri atau kepada orang lain. Perkukuhkan ukhwah islamiah moga perpaduan sesama Islam semakin erat, sayang menyayangi seperti Rasulullah kepada umatnya. Di dalam kita meneroka kecemerlangan, kita tak mampu lakukan sendiri, kita perlukan rakan, kita perlukan pasukan. Kiat boleh ceritakan kekuatan kita tanpa menyatakan kelemahan orang lain. Baru-baru ini, pabila pihak JPN dan Jemaah Nazir Melaka datang berkunjung ke SMTM, diantara komen, pengetua perlu menonjolkan kekuatan-kekuatan dan hasil usaha sebagai pengurus sekolah supaya dapat didengari oleh pihak yang memantau. Jika direnung mungkin agak songsang, dimana dari aspek agama tidak boleh riak. Teringat juga satu kisah zaman silam, ketika sekumpulan sahabat yang teperangkap di dalam sebuah gua berdoa untuk dibebaskan. Setiap sahabat menceritakan kebaikan masing-masing sehingga Allah membuka pintu gua sedikit demi sedikit dan akhirnya terbuka luas. Maka itu, tiada salahnya kita menguar-uarkan kecemerlangan kita bagi tujuan meningkatkan martabat. Wahai rakan-rakan, berjuanglah untuk kecemerlangan kerana ia juga ibadat lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Ambil yang jernih, buang yang keruh, pendayung di tangan perahu dah di air, apa yang ditunggu, dayunglah hingga sampai ke destinasi. Wallahu alam.
SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL MUBARAK,
MAAF DI ATAS SEGALA KESALAHAN.
DRPD: HJ ARSHAD, PENGETUA SMTM, PENGERUSI MPSMTV ZON MELAKA-NS